BLOG INI

Blog ini khas satu kenangan orang lama seperti saya.

Banyak dialek Padang Terap yang saya kekalkan. Kalau tidak berapa jelas, mohon dimaafi.

Blog ini sekadar untuk suka-suka merakam suatu yang terlalu usang untuk diingat, sebelum saya 'padam'.



Tuesday, November 2, 2010

KAMUS KECIL DIALEK PADANG TERAP - B

Badang nyiru. Tapi beghas denge badang, boleh pilih atah sekali. Tampi beras menggunakan badang (nyiru), boleh pilih antah sekali.
Baghu baru, baharu. Ayahmu beli geghek baghu, maheng tu. (Ayahmu beli basikal baru, mahal tu)

Bah banjir. Titi Padang Glangang rutuh kenê bah besar (Titi Padang Gelanggang runtuh terkena banjir besar)

Bakei bangkai. Bakei kucing mapoh. (Bangkai kucing mati)

Banyek banyak. Banyek oghang maghi. Banyak orang mari – datang.

Batai Bantal. Haket batai dok jemor tu! (Angkat bantal yang di jemuran itu). (Sebutan batai dengan bunyi ’i’ dinipiskan.

Bejenih, tak bejenih. Guna, tak beguna. Mu ni tak bejenih lasung, wokpa dok kaco anek oghang. Kamu ini tak berguna langsung, kenapa kacau anak orang.

Bêle Biar, biaq pi. Biarkan. Bêle gi ke dia nak buat macam manê pun. (Biarkan dia hendak buat apa pun)

Beghahi berahi. Gemar, suka yang tidak pada seks semata-mata. Pak Long mu tu, kalu makan keco ka, beghahi sungguh. (Pak Long kamu tu, kalau makan siput dia suka sungguh).

Beghi beri, bagi. Beghi makan ayan tepi lau (Beri makan ayam tepi rebannya)

Bekeng garang. Mu jangan dok gi dekat, lemu jatan tu bekeng. (Kamu jangan hampiri lembu jantan tu, ia garang).

Benang bendang, sawah. Benang Lubuk Lemu beghi ke Bateh. (Bendang Lubuk Lembu diberi kepada Bateh)

Betine, tine betina. Mu jangan dok kawan denge budak tine tu, aku tak setuju. (Kamu jangan berkawan dengan budak perempuan itu, aku tidak setuju). Betine tidak membawa maksud negatif seperti ayat ’Mu ada beghapa oghang anek tine/ betine?’ (Kamu ada berapa orang anak perempuan?).

Bok 1. Tilam/lembek. Gi hapar bok tu buleh tido (Pergi bentang tilam tu bolehlah tidor). 2. Buku. Ghajen-ghajen baca bok tu, pereksa dekat dah! (Rajin-rajin baca buku tu, periksa dah hampir)

Bubuh taruh, menaruh, meletakkan. Wokpa mu tak bubuh padi pulut sikit thun ni? (Kenapa kamu tidak tanam padi pulut sikit pada tahun ini?). Bubuh la banyek sikit, aku beghahi makan sayor ni. (Bubuh banyak sikit, aku suka makan sayur ini).

Bughuk buruk. Tekoran bughuk dok bawah tanga. (Kukur buruk ada di bawah tangga).

Bughung burung. Bughung dok-dok terghebang tingi sekawan. (Burung dok-dok terbang tinggi sekawan)

Buleh boleh. Buleh ka deme kata kita tak bayar lagi.. (Bolehkah mereka kata yang kita tak bayar lagi..)

Bunge bunga. Bunge tanyung putih waghenenye, wangi pula baunye. (Bunga tanjung putih warnanya, wangi pula baunya.

KAMUS KECIL DIALEK PADANG TERAP - A

Kamus Kecil Dialek Padang Terap

A 1. air, ayaع : a telaga ni sejok (air perigi ini sejuk). 2. banjir, bah: Ghumah tok wan masuk a dak? (Rumah tok wan kena banjir tak?)
A sejok air biasa (sama ada dimasak atau tidak), a sejok bukan bermaksud air yang disejukkan, bukan juga ais. Amek a sejok beghi tok wan mu ni. (Ambilkan air berikan kepada tok wan kamu ini).

Acar 1. Acar, jeruk buah-buahan yang dimasak. Acar limo ni sedap nak buat buka posa. (Acar limau ini sedap hendak dibuat berbuka puasa). 2. Acar, lumpur tanah di bawah saluran rumah.

Aih ais. Mitak aih katok sekupang. (Minta ais katok – ais sirap/ ais manis – sepuluh sen).

Ama aku, saya. Ama tak ghok nak jalan dah (Aku tak berdaya lagi hendak berjalan)

Amoo amboi: amoo mak pane sungguh anek Tok Yah Kob tu (Amboi mak! Pandai sungguh anak Tok Ayah Kob itu)

Amek ambil, mengambil: Mu jangan amek hati la denge Pak Su mu. (Kamu jangan ambil hati dengan Pak Su kamu itu)

Anêk anak, anak manusia, binatang mahupun tumbuhan: anêk pokok ghemia ni kena semei molek-molek baghu boleh tumuh. (Anak pokok ghemia -buah kundang- ini kena semai elok-elok baru boleh tumbuh)

Ansa angsa. Itik ansa tekok panyang. (Itik angsa tengkoknya panjang)

Atah antah. Atah beghas kene pilih, buang. Baghu mudah nak makan. Antah beras kena dipilih dan dibuang, baru mudah hendak dimakan.

Awe awal. Awe mu sape pagi ni. (Awal kamu sampai pagi ini)

Ayan ayam. Ayan jatan bekokok atas pagar (Ayam jantan berkokok di atas pagar).

KEUNIKAN DIALEK PADANG TERAP

Keunikan Dialek Padang Terap
Tulisan dan kajian ini adalah satu rakaman budaya bangsa yang terpencil dan terpinggir di hujung dunia. Ia tidak begitu penting diketahui selain mereka yang menghargai keunikan sebuah masyarakat terasing. Dialek ini hanyalah bahasa pertuturan yang tidak pernah sama sekali dicatatkan sebagai bahasa tulisan, selain dari apa yang ada di tangan anda.

Dialek Padang Terap mempunyai keunikan tersendiri, antaranya seperti berikut;
• Perkataan ’makan’ membawa maksud makan dan minum; ‘makan a’ bermaksud minum air. ’Maghi makan a dulu’ (Jemput minum air dulu).
• Bunyi ‘r’ ditukar menjadi ‘gh’ contoh; maghi (mari), ghajin (rajin), baghu (baru) Bunyi ‘r’ di hujung kalimah dimansuhkan seperti; denge (dengar).
• Bunyi ‘s’ ditukar menjadi ‘hs’ pada hujung perkataan, contoh ; malahs, balahs (balas, membalas surat), tulihs (tulis) ada juga yang ditukar kepada bunyi ‘h’ contohnya manih (manis).
• Bunyi ‘m’ ditukar kepada ‘n’ seperti; ayan (ayam), malan (malam).
• Bunyi ’ai’ ditukar menjadi ’è’, sebutan bunyi ’ai’ tidak ketara seperti kalimah; sungè (sungai), sapè (sampai), seghe (serai)
• Bunyi ’m’ dimansuhkan seperti; sape (sampai), tebako (tembakau), kapong (kampung),
• Bunyi ’b’ dimansuhkan seperti tamat (tambat),
• Bunyi ’buat apa’ diringkaskan kepada ’watpa mu ni?’ (Awak/kamu buat apa?)
• Diringkaskan kalimah ’kamu’ kepada ’mu’; Mu gi mane?, kalimah pergi diringkaskan kepada ’gi’, kalimah duduk diringkaskan ’dok’ dan banyak yang lain. Begitu juga diringkaskan bunyi ’dengan’ menjadi ’denge’ atau ’nge’. Ada juga yang menyebut ’denge’ membawa maksud dengan; Contoh ayat; mu gi nge/ denge sapa Konerang tu?. Nama Kuala Nerang diringkaskan menjadi ’Konerang’. Pondok menjadi ponok. Tok Haji Teh tu dok memonok.’ Kalimah ’tahu’ menjadi ’thu’ seperti ayat ’Mu tak thu pa lasong’ (kamu tidak tahu apa langsung)
• Kalimah sendiri/ adoptasi; seperti perkataan mulah (arwah), jenuh (banyak), ghok (kuat), chara (uruskan), kelolo (lawak, pelawak), guek (bergerak), gatek (juga) dan lain-lain. Terdapat juga kalimah tambahan melampau seperti masin phit (masin pahit), manih tin (manis letin), meghelap (berkilat, kereta baghu dia tu meghelap), phit lepang (pahit lepang).
• Berbeza makna; seperti kalimah haji untuk hajah (Haji Puteh, Tok Haji Hajar, Haji Nab – Haji Zainab), seperti juga makna ’jatan’ (jantan) dan ’betina’ untuk lelaki dan perempuan dengan tidak membawa maksud yang negatif. Contoh ayat; ’Aku buleh cucu jatan, nak gi tengok la ni’ (Aku dapat cucu lelaki, aku mahu pergi menziarahinya).
• Nama panggilan ’awang’ dan ’mek’ biasa digunakan kalangan penutur dialek Padang Terap.
• Kurang sekali menggunakan imbuhan; Amek baghang atas pagar. (Ambil barang di atas pagar). Benang Lubuk Lemu beghi ke Bateh. (Bendang Lubuk Lembu diberi kepada Bateh).
• Susunan ayat yang terbalik; penjodoh bilangan di belakang ayat . Contoh; “Mu gi kede beli tepong sekati, game sebukus. (Kamu pergi ke kedai belikan sekati tepung dan sebungkus gambir).

Bagaimana Mengenali Dialek Padang Terap?

Penutur dialek Padang Terap boleh dikenal dengan mudah. Mereka akan menggunakan gantinama ’mu’ (kamu) bukannya ’hang’ atau ’awak’ dalam perbualan. Contoh ayat yang biasa digunakan; ’Mu nak gi mane?’ (Kamu hendak pergi ke mana?), ’mu maghi daghi mane?’ (Kamu datang dari mane?) atau ’mu anek sapa?’ (Kamu anak siapa?) Selain itu, kalimah yang membawa konsonan ’a’ juga begitu ketara disebut dan boleh dikesan dengan mudah.

DIALEK PADANG TERAP 4 - UNIK

Dialek Padang Terap
Dialek Padang Terap lebih hampir dengan dialek Kelantan dan Pattani (SelatanThailand). Ia berbeza dengan dialek Pulau Pinang atau umumnya dialek Kedah yang dikenali umum sebagai dialek utara. Dipercayai dialek Padang Terap berasal dari Pattani oleh migrasi awal sekitar 400 tahun lalu.
Dialek Padang Terap digunakan meluas di kawasan Padang Terap, Pedu, Naka dan beberapa kawasan di daerah Baling (Malau, Kuala Ketil), daerah Sik dan kelompok perkampungan di daerah Kulim(Mahang dan Serdang). Malah di kawasan terpencil daerah Gerik, Perak didapati menggunakan dialek yang sama (Mustofa, 29 September 2007)
Bahasa mahupun dialek akan terhapus setelah generasi baru meninggalkan lidah pertuturan tradisi mereka. Bahasa Jawa yang dahulunya menjadi linggua-franca di Nusantara semakin mengecil ditenggelami bahasa Melayu setelah Islam bertapak di daerah ini. Hingga kini, tidak ramai lagi kalangan generasi muda menutur bahasa Jawa walaupun berketurunan Jawa baik di Johor, Perak dan Selangor.
Dialek dan mahupun bahasa sepatutnya menjadi warisan yang dipertahankan oleh kalangan penuturnya. Mengabaikan penggunaan bahasa percakapan seperti ini akan menghakis sebahagian nilai budaya dalam bangsa Melayu yang bertamadun. Dialek Padang Terap makin terhakis dan dengan sendirinya terpupus apabila semakin ramai yang tidak menuturnya. Oleh itu, rakaman seperti ini penting diketengahkan sebagai menghargai sebahagian daripada budaya Melayu dan Islam yang dipakai sekian lama.

STRUKTUR SOSIAL PADANG TERAP

Struktur Sosial Masyarakat Setempat:

Kerajaan Kedah dikuasai sepenuhnya oleh seorang sultan yang berdaulat sejak zaman berzaman. Pentadbiran daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah, Pegawai Polis, hakim, kadhi dan lain-lain. Kepimpinan sosialnya pula diketuai oleh seorang Penghulu Mukim yang dibantu seorang Panglima dan beberapa orang Neban (Neban berasal dari bahasa Siam, Nai Ban iaitu ’penghulu kampung’). Mukim Padang Terap Kiri sebagai contoh, penghulunya ialah Penghulu Abdul Rahman bin Yakob (lebih dikenal Penghulu Saman) dengan dibantu tiga orang neban iaitu Neban Chu Bakar (Kampung Tanjung), Neban Chey Ahmad (Chey Hamed) (Kampung Pisang) dan Jusuh bin Husin (Jusuh Neban) (Padang Nyior) (temubual Mahmud Mat Nayan 5 Jun 2006). Namun struktur sosial ini berakhir pada sekitar 1970an dengan perubahan pentadbiran kerajaan negeri sendiri. Kawalan komuniti kini lebih tertumpu pada pengurusan pentadbiran semasa berpusat di Kuala Nerang.

Pusat pentadbiran daerah akhirnya berpindah ke Kuala Nerang. Ini kerana kedudukan Kuala Nerang lebih strategik yang menjadi tumpuan peniaga Cina dan titik pertemuan menghubungkan mukim Pedu dan Kuala Janing/Bendang Raja dan Kurung Hitam. Kini Kuala Nerang menjadi bandar kecil yang pesat berkembang seiring dengan pembukaan sempadan Thailand di Durian Burung.

Nama Kuala Nerang diambil dari pertemuan sungai Padang Terap dan Sungai Pedu yang membentuk kuala. Manakala ’nerang’ adalah gambaran cahaya terang benderang (terang menerang pada dialek tempatan) yang kelihatan di kuala berkenaan kerana ada beberapa permis kedai dan rumah-rumah perkampungan.

Membicarakan Padang Terap dan Kuala Nerang, pengkaji sejarah tidak akan melupakan sama sekali Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang pernah menjadi Pegawai Daerah sekembalinya dari pengajiannya di luar negara. Tunku amat dikenal di kalangan warga tua penduduk Padang Terap. Sikapnya yang tegas, garang dan dalam keadaan tertentu suka berjenaka dan berhemah tinggi menjadi kenangan dan bualan orang-orang tua di daerah pedalaman ini.

Tok Chey Saman Biye adalah panglima Padang Terap pada ketika itu. Beliau dikatakan pernah memayungkan Tengku Abdul Rahman ketika beliau menyampaikan ceramah politik di Pekan Kuala Nerang. Hubungan Tengku dengan Tok Chey Saman Biye agak rapat. Talian ini terjalin kerana kekanda Tengku Abdul Rahman iaitu Tengku Sulaiman pernah berkahwin dengan Hajah Hajar (Tok Hajah Jar) iaitu anak kepada Tok Chey Saman Biye. Tok Saman Biye juga dikatakan pernah bekerja di Pejabat Tanah Padang Terap di Pengkalan Ah Kaw, Padang Nyior yang membolehkan beliau dikenal rapat oleh kerabat diraja Kedah (temubual Husin bin Daud1 pada 6 Jun 2006).

Tunku Abdul Rahman bertugas sebagai Pegawai Daerah (Pegawai Jajahan) Kuala Nerang pada tahun 1932 ketika umurnya 29 tahun hingga tahun 1935. Hasil perkahwinannya dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, Tunku memperoleh dua orang anak, dan seorang anak lelakinya dinamakan Tunku Ahmad Nerang. Isterinya, Mariam meninggal dunia kerana malaria di Kuala Nerang pada tahun 1934 yang mencatatkan sejarah tersendiri kepada Tunku Abdul Rahman (Ramlah, 2004)

SEKOLAH KEBANGSAAN PADANG TERAP & MASJID

Sekolah Kebangsaan Padang Terap (SKPT)
Sekolah ini adalah sekolah rendah terawal di daerah Padang Terap yang mula dibuka pada tahun 1913. Ia dirasmikan pembukaannya oleh Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Tuan Syeikh Haji Wan Sulaiman pada tahun yang sama (temubual Abdul Halim Jusuh, 20 Disember 2005). Menurut Puan Fatimah Mohd Nor (temubual 6 Jun 2006) antara guru yang diingat pernah bertugas di sekolah Padang Terap ialah Encik Musa, Encik Da’ dan Encik Mat.
Selain guru di atas, Cikgu Mat Nayan bin Aman bin Hakeem Mohamad bin Rahmatullah (temubual Mahmud bin Mat Nayan 5 Jun 2006) pernah bertugas di SKPT. Cikgu Mat Nayan pernah menjawat jawatan guru besar bersama dengan Haji Mohd Nor (Tok Ayah Nor) yang mengajar al-Quran pada sesi petang di sekolah yang sama. Cikgu Mat Nayan dan Tok Ayah Nor berkawan rapat (berkawan rapit) seperti adik beradik, dalam susah senang membangunkan pendidikan di sekolah beratap nipah dan berdinding buluh. Murid-muridnya pula menulis di atas papan batu yang dipadam menggunakan air.
Cikgu Haji Darus bin Abdullah @ Pak Lah Tebeng antara guru yang pernah berkhidmat di awal penubuhan SKPT. Lain-lain guru termasuklah Cikgu Mokhtar, Cikgu Ismail, Cikgu Sopiah, Cikgu Azizan yang berganti berikutnya.

Masjid.
Masjid Sungai Sari adalah masjid pertama daerah Padang Terap (menyusuri sungai Padang Terap). Pada asalnya masjid ini berada di tepi sungai yang dibina daripada kayu-kayu hutan. Namun oleh kerana berlakunya perpindahan penduduk ke tepi jalan raya yang baru dibina, masjid ini akhirnya dipindahkan ke Kampung Sungai Sari seperti yang sedia ada pada hari ini. Hanya kubur lama yang masih kekal di tepi sungai bekas tapak masjid membuktikan kewujudan penempatan generasi terdahulu (Temubual Mahmud Mat Nayan 5 Jun 2006).

Masjid berikutnya ialah masjid Padang Gelanggang, Masjid Kampung Pisang, Masjid Padang Sanai, Masjid Kampung Tanjung dan Masjid Kubang Palas. Pecahan kariah baru mewujudkan pula Masjid Padang Nyior yang sedang dalam pembinaan (Ahmad Nawawi, 2006).

SEJARAH PADANG TERAP

Sejarah Padang Terap:
Dari aspek sejarahnya, Padang Terap telah dihuni lebih 500 tahun lalu. Kawasan penempatan awal ialah di perkampungan tepi-tepi sungai yang menjadi laluan utama pada ketika itu. Perkampungan awal (melalui Sungai Padang Terap) yang dipercayai wujud ialah Kampung Padang Nyior, Sungai Sari, Kampung Chucuh, Padang Gelanggang, Lubuk Labi, Bendang Nai-on (Ne-on), Pengkalan Taban, Pengkalan Kampung Tanjung dan Pengkalan Kuala Nerang. Manakala di perairan sungai Pedu pula beberapa kampung kecil yang wujud termasuklah Kampung Pedu, Kampung Barokas dan beberapa perkampungan kecil lain. Di sebelah kiri sungai Padang Terap wujud kampung Bendang Raja, Kampung Tolak dan Kampung Janing.
Perkampungan kecil wujud di beberapa kawasan kecil dan terpisah antara satu sama lain. Apabila berlakunya zaman darurat dan proses pemutihan, kawasan baru dibuka dan kawasan asal ditinggalkan seperti wujudnya Kampung Baru, Kampung Pisang yang menempatkan penduduk asalnya dari Kampung Chucuh. Begitu juga Kampung Sungai Sari yang diterokai peduduk Bendang Nai-on.
Suatu ketika dahulu, Padang Nyior pernah menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Padang Terap. Kewujudan beberapa kawasan penempatan, pusat pentadbiran dan kedai-kedai peruncitan milik orang Melayu dan Cina, menjadikan Padang Nyior lokasi pentadbiran setempat pada masa itu. Di sini terdapat kedai emas, tukang gigi, kedai cermin mata, kedai sabun, bar, kedai Cina Akow (Ah Kaw) dan kedai Cina Ong. Kedai-kedai lain yang beroperasi termasuklah kedai Saudagar Din, kedai Keling Ibrahim, kedai Keling Midin (Maidin) dan Cina Ayok (Chin Guan Leong) yang membeli getah (Temubual Fatimah Mohd Nor, 6 Jun 2006).
Pejabat Polis dan Pejabat Kadhi beroperasi di Pengkalan Sekolah, sementara Pejabat Tanah beroperasi di Pengkalan Ah Kow. Pengkalan Tok Ayah Nor (Pengkalan Taban) turut menjadi pusat operasi komuniti pada masa itu. Padang Nyior juga terkenal menjadi pusat hiburan iaitu permainan mak yong, hadharah, wayang kulit Melayu dan menora.

DIALEK PADANG TERAP 3 - POPULASI PENDUDUK

Populasi Penduduk Padang Terap

Mukim-Mukim Penduduk 1991 Penduduk 1995
Batang Tunggang Kanan 1,226 1,314
Batang Tunggang Kiri 1,270 1,358
Belimbing Kanan 7,102 7,610
Belimbing Kiri 2,516 2,696
Kurung Hitam 2,407 2,579
Padang Temak 4,738 5,078
Padang Terap Kanan 1,610 1,726
Padang Terap Kiri 4,008 4,296
Pedu 5,310 5,694
Tualak 2,142 2,258
Tekai Kanan & Tekai Kiri 18,406 19,768
JUMLAH 50,735 54,377
Jadual 1 : Mukim dan jumlah penduduk tahun 1991 dan 1995.

Jadual di atas menunjukkan purata pertambahan penduduk Padang Terap ialah 1.8% setahun dengan komposisi yang semakin ketara. Dari segi komposisi etnik, masyarakat Melayu beragama Islam merupakan majoriti penduduk mewakili 91.25% dengan jumlah 46,727 orang. Manakala Cina dan lain-lain etnik menduduki tempat kedua dan ketiga seperti jadual berikutnya;

Kaum Lelaki Wanita Jumlah Peratus
Melayu 22,789 23,484 46,273 91
Cina 427 356 783 1.54
India 79 57 136 0.26
Bumiputera lain 14 6 20 0.03
Lain-lain 1,706 1,614 3,320 7
Bukan Warganegara 115 79 194 0.38
JUMLAH 25,130 25,596 50,726 100

Jadual 2 : Komposisi Penduduk Daerah Padang Terap (Sumber: Nota Taklimat Pembangunan Daerah Padang Terap, Sempena Lawatan Menteri Besar Kedah, 1996)

Dari sudut ekonomi, kebanyakan penduduknya adalah petani tradisional yang mengusahakan sawah padi, dusun, penternakan kecilan dan buruh kilang. Kilang Gula Padang Terap yang ditubuhkan 14 Mac 1973 menjadi nadi utama pergerakan ekonomi penduduk setempat (Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Nerang, Kedah. Laporan Kemajuan Projek-projek Pembangunan 1986/87. hlm 58). Sebagai sebuah kilang yang memiliki ladang tebu terluas dalam negara, ia cukup untuk membuka peluang pekerjaan tetap kepada penduduk tempatan. Secara langsung ia berupaya menjana ekonomi penduduk dalam daerah yang termiskin di negeri ini.

DIALEK PADANG TERAP 2

Matlamat Kajian

Kajian ringkas ini dibuat sebagai batu asas kepada pengkajian lebih mendalam pada penggunaan bahasa daerah di Padang Terap atas tujuan berikut;
1. Mengumpulkan perkataan dalam sebuah kamus kecil penggunaan bahasa dialek Padang Terap
2. Menjelaskan struktur susunan ayat dalam bahasa setempat yang sering digunakan
3. Menonjolkan penggunaan dialek setempat dalam susunan ayat melalui contoh-contoh perbualan seharian.

Metodologi Kajian
Kajian dilakukan melalui pemerhatian dan penglibatan sama penyelidik bersama masyarakat setempat khasnya dalam kalangan warga tua yang masih menuturkan loghat berkenaan. Pebualan yang diamati dirakamkan bagi memudahkan penyelidik mendapat maklumat yang tepat dan sejadi.

Bacaan Literitur

Kedah Darulaman

Kedah Darulaman dikatakan sebagai negeri tertua di Tanah Melayu. Kerajaan Kedah Tua diperintah oleh Maharaja Dereba Raja yang dikatakan berasal dari India. Semasa baginda memerintah Kedah, datang seorang pendita dari negeri Arab bernama Tuan Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad. Beliau adalah perantau dari Yaman yang tiba ke Kedah sekitar tahun 531H. Paduka Maharaja Derba dikatakan menerima Islam daripada Syeikh Abdullah al-Yamani yang akhirnya mempengaruhi rakyat jelata menerima Islam sebagai agama yang baru. Nama asal Kedah iaitu Qalha ditukarkan kepada Kedah (Hassan, t.t Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah).

Kenyataan ini hampir sama dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menyebut Sultan Kedah diislamkan oleh Syeikh Abdullah al-Yamani. Selain Lembah Bujang menjadi pintu masuk pedagang asing, muara Kuala Kedah juga pernah menjadi pusat penyebaran agama Islam ke negeri ini. Penemuan kota diraja di Kuala Kedah dan tumbuhnya pusat pendidikan agama Islam di pesisir sungai berkenaan menjadi bukti kehadiran Islam bermula di kawasan tersebut.

Latar Belakang Padang Terap dan Penduduknya.
Padang Terap merupakan daerah ketiga terbesar di Negeri Kedah dengan keluasan 1,365.84 kilometer persegi (Pejabat Daerah Padang Terap. Laporan Kemajuan Projek-projek Pembangunan, 1986/87. hlm 1). Pusat pentadbirannya ialah Kuala Nerang yang bersempadan dengan Thailand di sebelah utara, Sik dan Pendang di baratnya. Terdapat sembilan Penghulu untuk 12 mukim dan 87 orang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan 118 buah kampung (Jabatan Perangkaan Malaysia, Laporan Am banci Penduduk 1995).

DIALEK PADANG TERAP 1

Abstrak
Bahasa berkembang kerana adanya penutur. Apabila penutur berkurangan, akan luntur dan pupus bahasa berkenaan. Begitu juga dengan dialek setempat yang menjadi jati diri penduduk, akan terhakis dikit berdikit. Dialek Padang Terap, di Kedah Darulaman yang mempunyai kesamaan iras dengan loghat Kelantan dan Wilayah Pattani(Selatan Thai) kini semakin terhakis dek kekurangan penuturnya kalangan generasi hari ini. Loghat Utara (Pulau Pinang dan Kedah, amnya) menular luas dan menghakis dialek setempat. Esei ini mengumpulkan cebisan kecil dialek Padang Terap dan kegunaan suku katanya sebagai langkah pemuliharaan dialek daerah yang kian terhapus.

Kata kunci: dialek daerah, Padang Terap.

Pengenalan

Bahasa adalah ceminan bangsa dan menjadi jiwa bangsa buat selamanya. Bahasa dalam apa juga bentuk rupa dan dialeknya mempunyai teras dan inti kepada penduduk setempat. Bagi Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan ke 50 tahun, seutuhnya sudah cukup hebat mendepani bahasa kebangsaan pada singgahsana sebenar. Memperkasakan bahasa bukan sekadar menjadi medan perjuangan, bahkan seharusnya telah mantap dan berupaya berdiri sendiri tanpa tergugat oleh mana-mana pihak.
Selain memperkasakan bahasa kebangsaan, dialek daerah (atau negeri) juga boleh diketengahkan sebagai medium komunikasi yang wajar diberi penekanan dan penjituan. Pada era percampuran budaya dan bahasa tanpa sempadan hari ini, kedudukan dialek setempat nampak semakin terhakis dan tidak mustahil akan pupus pada kemudian hari. Di sini bermulanya usaha gigih daripada penuturnya untuk meletakkan batu asas kepada pengkajian dan penyalinan bahasa daerah agar ia terus kekal dalam dunia akademia jika tidakpun pada kalangan penuturnya.

PERJUANGAN (KEMBARA)

Lagu ini bersemangat. Hidup mesti diteruskan. Perjuangan tidak pernah berakhir.


PERJUANGAN (KEMBARA)

Satu demi satu
Kuatur langkahku
Meskipiun perlahan tapi tegas

Saat demi saat
Masa hampir tamat
Masih banyak yang perlu diperlaku

*Gelora jiwaku dalam perjuangan
Bagai musafir yang sedang kehausan
Inilah masanya aku mempertahankan
Apa yang selama ini milikku

Rintangan yang harus kutempuh
Bukan hanya yang berada di luar
Apa yang lebih aku takut
Adalah godaan yang ada di dalam

Tiada ku bina istana pasir
Yang akan musnah di telan ombak
Perjuanganku penuh pahit getir
Tiada kejayaan tanpa pengorbanan.

LIRIK LAGU BUAT SEORANG IBU (KEMBARA)

Lagu dan lirik lagu ini amat menyentuh kami suatu ketika dahulu. Aku terlebih tersentuh kerana pemergian ibu terlalu awal untukku, pada usiaku 7 tahun (11 Februari 1972); Baharu dua bulan aku bersekolah Darjah Satu.



LAGU BUAT SEORANG IBU (KEMBARA)

Ibuku mengapa engkau menangis
Apakah yang kurang
Walaupun ayah telah tiada
Itu tak bermakna akhirnya hidup kita

Ibuku tenangkanlah hatimu
Kerana suria kan pasti menjelma
Usia mudaku tak menghalang diriku
Untuk membela dirimu

Ayahku walaupun engkau gugur
Kerana pertiwi
Namun jasamu kukenang selalu
Kumahkotakan ke puncak cemara

Nanti bila aku sudah dewasa
Inginku menjadi pemimpin negara
Akan ku bela nasib kita
Itulah sumpah anakmu

Dari itu hentikan tangisan
Pandanglah masa depan
Betapa aku cinta padamu
Pelukanmu menguatkan semangatku
Duhai ibuku dengarkanlah lagu
Untukmu…

PANTUN KAMI ORANG KOLA NERANG

Orang tua-tua dulu, banyak pantun yang diajar. Ada sekadar pantun ejekan dan ada pula sekadar untuk suka-suka.

Saya masih ingat dua rangkap pantun di Ponok Padang Nyor dulu..

DOLAH DOLENG
KANA MACANG
TIDO TUNGENG
PELE CACANG

ASSALA ANG ANG
ASSALA GULE KERANG
TAK LEBIH TAK KURANG
DUA UTE CELAH KAKANG