BLOG INI

Blog ini khas satu kenangan orang lama seperti saya.

Banyak dialek Padang Terap yang saya kekalkan. Kalau tidak berapa jelas, mohon dimaafi.

Blog ini sekadar untuk suka-suka merakam suatu yang terlalu usang untuk diingat, sebelum saya 'padam'.



Tuesday, November 2, 2010

KEUNIKAN DIALEK PADANG TERAP

Keunikan Dialek Padang Terap
Tulisan dan kajian ini adalah satu rakaman budaya bangsa yang terpencil dan terpinggir di hujung dunia. Ia tidak begitu penting diketahui selain mereka yang menghargai keunikan sebuah masyarakat terasing. Dialek ini hanyalah bahasa pertuturan yang tidak pernah sama sekali dicatatkan sebagai bahasa tulisan, selain dari apa yang ada di tangan anda.

Dialek Padang Terap mempunyai keunikan tersendiri, antaranya seperti berikut;
• Perkataan ’makan’ membawa maksud makan dan minum; ‘makan a’ bermaksud minum air. ’Maghi makan a dulu’ (Jemput minum air dulu).
• Bunyi ‘r’ ditukar menjadi ‘gh’ contoh; maghi (mari), ghajin (rajin), baghu (baru) Bunyi ‘r’ di hujung kalimah dimansuhkan seperti; denge (dengar).
• Bunyi ‘s’ ditukar menjadi ‘hs’ pada hujung perkataan, contoh ; malahs, balahs (balas, membalas surat), tulihs (tulis) ada juga yang ditukar kepada bunyi ‘h’ contohnya manih (manis).
• Bunyi ‘m’ ditukar kepada ‘n’ seperti; ayan (ayam), malan (malam).
• Bunyi ’ai’ ditukar menjadi ’è’, sebutan bunyi ’ai’ tidak ketara seperti kalimah; sungè (sungai), sapè (sampai), seghe (serai)
• Bunyi ’m’ dimansuhkan seperti; sape (sampai), tebako (tembakau), kapong (kampung),
• Bunyi ’b’ dimansuhkan seperti tamat (tambat),
• Bunyi ’buat apa’ diringkaskan kepada ’watpa mu ni?’ (Awak/kamu buat apa?)
• Diringkaskan kalimah ’kamu’ kepada ’mu’; Mu gi mane?, kalimah pergi diringkaskan kepada ’gi’, kalimah duduk diringkaskan ’dok’ dan banyak yang lain. Begitu juga diringkaskan bunyi ’dengan’ menjadi ’denge’ atau ’nge’. Ada juga yang menyebut ’denge’ membawa maksud dengan; Contoh ayat; mu gi nge/ denge sapa Konerang tu?. Nama Kuala Nerang diringkaskan menjadi ’Konerang’. Pondok menjadi ponok. Tok Haji Teh tu dok memonok.’ Kalimah ’tahu’ menjadi ’thu’ seperti ayat ’Mu tak thu pa lasong’ (kamu tidak tahu apa langsung)
• Kalimah sendiri/ adoptasi; seperti perkataan mulah (arwah), jenuh (banyak), ghok (kuat), chara (uruskan), kelolo (lawak, pelawak), guek (bergerak), gatek (juga) dan lain-lain. Terdapat juga kalimah tambahan melampau seperti masin phit (masin pahit), manih tin (manis letin), meghelap (berkilat, kereta baghu dia tu meghelap), phit lepang (pahit lepang).
• Berbeza makna; seperti kalimah haji untuk hajah (Haji Puteh, Tok Haji Hajar, Haji Nab – Haji Zainab), seperti juga makna ’jatan’ (jantan) dan ’betina’ untuk lelaki dan perempuan dengan tidak membawa maksud yang negatif. Contoh ayat; ’Aku buleh cucu jatan, nak gi tengok la ni’ (Aku dapat cucu lelaki, aku mahu pergi menziarahinya).
• Nama panggilan ’awang’ dan ’mek’ biasa digunakan kalangan penutur dialek Padang Terap.
• Kurang sekali menggunakan imbuhan; Amek baghang atas pagar. (Ambil barang di atas pagar). Benang Lubuk Lemu beghi ke Bateh. (Bendang Lubuk Lembu diberi kepada Bateh).
• Susunan ayat yang terbalik; penjodoh bilangan di belakang ayat . Contoh; “Mu gi kede beli tepong sekati, game sebukus. (Kamu pergi ke kedai belikan sekati tepung dan sebungkus gambir).

Bagaimana Mengenali Dialek Padang Terap?

Penutur dialek Padang Terap boleh dikenal dengan mudah. Mereka akan menggunakan gantinama ’mu’ (kamu) bukannya ’hang’ atau ’awak’ dalam perbualan. Contoh ayat yang biasa digunakan; ’Mu nak gi mane?’ (Kamu hendak pergi ke mana?), ’mu maghi daghi mane?’ (Kamu datang dari mane?) atau ’mu anek sapa?’ (Kamu anak siapa?) Selain itu, kalimah yang membawa konsonan ’a’ juga begitu ketara disebut dan boleh dikesan dengan mudah.

No comments:

Post a Comment