BLOG INI

Blog ini khas satu kenangan orang lama seperti saya.

Banyak dialek Padang Terap yang saya kekalkan. Kalau tidak berapa jelas, mohon dimaafi.

Blog ini sekadar untuk suka-suka merakam suatu yang terlalu usang untuk diingat, sebelum saya 'padam'.



Tuesday, November 2, 2010

STRUKTUR SOSIAL PADANG TERAP

Struktur Sosial Masyarakat Setempat:

Kerajaan Kedah dikuasai sepenuhnya oleh seorang sultan yang berdaulat sejak zaman berzaman. Pentadbiran daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah, Pegawai Polis, hakim, kadhi dan lain-lain. Kepimpinan sosialnya pula diketuai oleh seorang Penghulu Mukim yang dibantu seorang Panglima dan beberapa orang Neban (Neban berasal dari bahasa Siam, Nai Ban iaitu ’penghulu kampung’). Mukim Padang Terap Kiri sebagai contoh, penghulunya ialah Penghulu Abdul Rahman bin Yakob (lebih dikenal Penghulu Saman) dengan dibantu tiga orang neban iaitu Neban Chu Bakar (Kampung Tanjung), Neban Chey Ahmad (Chey Hamed) (Kampung Pisang) dan Jusuh bin Husin (Jusuh Neban) (Padang Nyior) (temubual Mahmud Mat Nayan 5 Jun 2006). Namun struktur sosial ini berakhir pada sekitar 1970an dengan perubahan pentadbiran kerajaan negeri sendiri. Kawalan komuniti kini lebih tertumpu pada pengurusan pentadbiran semasa berpusat di Kuala Nerang.

Pusat pentadbiran daerah akhirnya berpindah ke Kuala Nerang. Ini kerana kedudukan Kuala Nerang lebih strategik yang menjadi tumpuan peniaga Cina dan titik pertemuan menghubungkan mukim Pedu dan Kuala Janing/Bendang Raja dan Kurung Hitam. Kini Kuala Nerang menjadi bandar kecil yang pesat berkembang seiring dengan pembukaan sempadan Thailand di Durian Burung.

Nama Kuala Nerang diambil dari pertemuan sungai Padang Terap dan Sungai Pedu yang membentuk kuala. Manakala ’nerang’ adalah gambaran cahaya terang benderang (terang menerang pada dialek tempatan) yang kelihatan di kuala berkenaan kerana ada beberapa permis kedai dan rumah-rumah perkampungan.

Membicarakan Padang Terap dan Kuala Nerang, pengkaji sejarah tidak akan melupakan sama sekali Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang pernah menjadi Pegawai Daerah sekembalinya dari pengajiannya di luar negara. Tunku amat dikenal di kalangan warga tua penduduk Padang Terap. Sikapnya yang tegas, garang dan dalam keadaan tertentu suka berjenaka dan berhemah tinggi menjadi kenangan dan bualan orang-orang tua di daerah pedalaman ini.

Tok Chey Saman Biye adalah panglima Padang Terap pada ketika itu. Beliau dikatakan pernah memayungkan Tengku Abdul Rahman ketika beliau menyampaikan ceramah politik di Pekan Kuala Nerang. Hubungan Tengku dengan Tok Chey Saman Biye agak rapat. Talian ini terjalin kerana kekanda Tengku Abdul Rahman iaitu Tengku Sulaiman pernah berkahwin dengan Hajah Hajar (Tok Hajah Jar) iaitu anak kepada Tok Chey Saman Biye. Tok Saman Biye juga dikatakan pernah bekerja di Pejabat Tanah Padang Terap di Pengkalan Ah Kaw, Padang Nyior yang membolehkan beliau dikenal rapat oleh kerabat diraja Kedah (temubual Husin bin Daud1 pada 6 Jun 2006).

Tunku Abdul Rahman bertugas sebagai Pegawai Daerah (Pegawai Jajahan) Kuala Nerang pada tahun 1932 ketika umurnya 29 tahun hingga tahun 1935. Hasil perkahwinannya dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, Tunku memperoleh dua orang anak, dan seorang anak lelakinya dinamakan Tunku Ahmad Nerang. Isterinya, Mariam meninggal dunia kerana malaria di Kuala Nerang pada tahun 1934 yang mencatatkan sejarah tersendiri kepada Tunku Abdul Rahman (Ramlah, 2004)

No comments:

Post a Comment