BLOG INI

Blog ini khas satu kenangan orang lama seperti saya.

Banyak dialek Padang Terap yang saya kekalkan. Kalau tidak berapa jelas, mohon dimaafi.

Blog ini sekadar untuk suka-suka merakam suatu yang terlalu usang untuk diingat, sebelum saya 'padam'.



Monday, September 5, 2011

CERPEN; 'LEPAT BUNGA CHICA'

LEPAT BUNGA CHICA

Jerat lembu ditarik perlahan-lahan. Hidung lembu jantan besar Ayah luka hidungnya. Tarik sedikit sudah diikut. Imran membawanya ke belukar di pinggiran Bendang Chuchuh. Kawasan lapang berumput di celah belukar sudah cukup untuk makanan si lembu jantan. Lembunya dilepaskan sehinggalah akan diambil petang nanti.

Bendang Chucuh baharu sahaja dicedung. Rumpun padi mula bercambah dan menghijau. Mak CIk Melah dan Imran sekadar menengok-nengok menabur baja.

Ketika matahari memecahkan bahang panasnya, merekapun melangkah pulang. Melewati ke kebun getah dan sepohon pokok chica.

Pokok chica tinggi mencecah pucuk-pucuk daun getah. Itulah sebatang yang ada berbaki, tiada yang lain. Banirnya mencengkam di gigi bendang Pak Samat Misai. Batangnya sepemeluk penuh, tidak mungkin terpeluk Imran yang masih kehingusan.

Mak Cik Melah mengutip bunga-bunga chiha di celah daun-daun getah kering. Imran ikut sama. Kutip. Kutip untuk dibuat lepat. Buat lepat bunga chicha, cadang Makcik Melah ibu tumpang Imran selama ibu benarnya meninggal dunia terlebih awal.

Bunga-bunga chica dijemur di dalam badang di atas jemuran rumah. Jemuran bersulam kayu dan buluh bulat terhayun-hayun dipijak Makcik Melah. Tiada siapa yang rungut, tiada siapa yang komplin. Itulah dunia kami.

Setelah kering, bunga chica ditumbuk dengan lesung kayu. Cukup seorang sahaja menumbuknya, tidak perlu ramai-ramai kerana ia kerja mudah. Kakak Aishah tumbuk. Tidak sepayah menumpuk padi, menumbuk tepung beras dan menumbuk emping atau paoh untuk selingan makan-makan kami.

Imran dan Mad Chi kena pergi ambil daun pisang di kebun Pak Long Pi. Kebun pisang Pak Long Pi subur dan berpagar elok untuk menghalang lembu, kambing dan kerbau masuk merosakkan tanaman. Daun pisang dilayur dahulu. Layur untuk memudahkan membungkus lepat bunga chiha.

Mak Cik Melah seorang manager yang baik. Kak Aishah kena kukur nyior dengan tekoran usang bergigi tajam. Tajamnya pun tidak sekata. Tapi itulah yang kami ada. Kak Aisyah kukur nyior hingga habis sebelah.

“Perah!”

Tepung beras yang kami tumbuk – Imran dan Mad Chi- masih ada, menjadi bahan utama. Sedikit tepung pulut dimasukkan bagi memekatkan adunan. Santan pekat dituang ke dalam besen besi bersama tepung pulut dan tepung beras. Garam dan gula sedikit-sedikit dimasukkan.

Sudah siap diadun, kepingan daun pisang yang dipotong sepapan-sepapan diisi dan dibungkus. Secamca pendek kontot , sudah cukup untuk sebungkus lepat bunga chica. Bungkusan lepat diletakkan ke dalam periuk kukus sebelum dididihkan. Pastikan dulu airnya cukup, pantang Mak CIk Melah kalau periuknya hangit.

Itu cerita malamnya.

Esok pagi kami sudah tahu sarapan apa pagi itu sebelum melangkah ke sekolah.

“Aku suka, sedap!”

Itu kisahnya tiga puluh tahun dahulu.

Kini, lepat bunga chica tiada lagi. Pokoknya entah ada entah tiada. Besen besi tiada lagi, tekoran juga tiada lagi, jerat lembu entah di mana, anak-anak Imran tidak pernah memegangnya.

Hanya lepat bunga chica yang dimasak mengikat ingatan Imran dengan Makcik Melah, menambat kasih sepanjang-panjangnya dengan Makcik Melah. Lepat bunga chica mengajar Imran erti tanggungjawab. Tahu apa yang mahu dimasak, tahu tugas Imran mengutip bunga, tahu tugasnya memotong daun pisang sebelum pelepahnya dibuat senapang; pong pong. Tahu kena pastikan air periuk kukusnya penuh sebelum kayu api dicucuh getah, tidakpun dituang minyak tanah sahaja.

Ah, tahukah anak-anak Imran sarapan esok paginya? Ah, kenalkah anak-anak kini sekumtum bunga chica yang gugur di tepi bendang? Tahukah anak-anak menumbuk tepung beras, menumbuk padi?

Imran terbuai.

“Ya Allah, lapangkanlah kubur Makcik....”

Hanya kerana lepat bunga chica, ingatan Imran pada Makciknya bertambah-tambah.


Ahmad Nawawi Yaakob
UiTM/ PPJ Segamat.

........


Ulasan cerpen oleh Pak Baha (Rn Baharudin Kahar)

Cerpen ini adalah sebuah cerpen nostalgia yang menarik. Satu hal yang agak menarik dan tidak kurang istimewanya ialah tentang kepadatan serta kedalamannya isi persoalannya. Segala sesuatu agak ekonomikal, tidak bertele-tele. Ia berkembang dengan pengembaraan minda Imran, mengingati suasana kampung serta rutin hidupnya dahulu. Ingatan itu lebih banyak menjurus kepada kuih tradisional – Lepat Bunga Chica, dan orang yang mahir membuatnya adalah Makcik Melah.

Seperti yang saya katakan tadi, struktur cerpen ini agak mantap, tidak bertele-tele dan penjimatan itu dapat memelihara kepadatannya. Bahasanya lincah dan segar, tambah disegarkan lagi dengan penggunaan bahasa daerah yang berjaya pula mempertingkatkan mood suasana dan cerita.

Membaca cerpen ini membuatkan kita merasa sayu dan terharu – menyeret kita hanyut bersama, kerana setiap kita pasti ada daerah nostalgianya sendiri. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa cerpen ini memiliki nilai estetik yang berjaya memberi impak dan kesan spontan kepada pembaca. Keindahan itu terungkap membuatkan kita merasa dan merenung kembali kepada sesuatu yang telah hilang dan tertinggal jauh dalam perjalanan hidup kita yang relativenya singkat ini. Kehidupan moden telah meragutnya. Syabas – anda cukup berbakat.

3 comments:

  1. lepat bunga cicha memang best....pokok bunga cicha masih ada lagi sekarang tak pupus lagi...jgn risau

    ReplyDelete
  2. Datanglah ke Langkawi. Call saya 0124762055 Fauna Flora , untuk melihat pokok Cicah ni untuk buat lepat. Saya boleh tunjukkan.

    ReplyDelete
  3. Pokok Cicah memang bukan pupus lagi. Yang hampir pupus orang yang biasa buat Lepat Cicah ni. Pokok Cicah atau Stereospermum fimbriata masih banyak terdapat di Langkawi dan kawasan Utara Tanah air seperti di Kedah dan Perlis. Tapi di Langkawi cucup2 banyak.

    ReplyDelete