BLOG INI

Blog ini khas satu kenangan orang lama seperti saya.

Banyak dialek Padang Terap yang saya kekalkan. Kalau tidak berapa jelas, mohon dimaafi.

Blog ini sekadar untuk suka-suka merakam suatu yang terlalu usang untuk diingat, sebelum saya 'padam'.



Tuesday, November 2, 2010

DIALEK PADANG TERAP 1

Abstrak
Bahasa berkembang kerana adanya penutur. Apabila penutur berkurangan, akan luntur dan pupus bahasa berkenaan. Begitu juga dengan dialek setempat yang menjadi jati diri penduduk, akan terhakis dikit berdikit. Dialek Padang Terap, di Kedah Darulaman yang mempunyai kesamaan iras dengan loghat Kelantan dan Wilayah Pattani(Selatan Thai) kini semakin terhakis dek kekurangan penuturnya kalangan generasi hari ini. Loghat Utara (Pulau Pinang dan Kedah, amnya) menular luas dan menghakis dialek setempat. Esei ini mengumpulkan cebisan kecil dialek Padang Terap dan kegunaan suku katanya sebagai langkah pemuliharaan dialek daerah yang kian terhapus.

Kata kunci: dialek daerah, Padang Terap.

Pengenalan

Bahasa adalah ceminan bangsa dan menjadi jiwa bangsa buat selamanya. Bahasa dalam apa juga bentuk rupa dan dialeknya mempunyai teras dan inti kepada penduduk setempat. Bagi Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan ke 50 tahun, seutuhnya sudah cukup hebat mendepani bahasa kebangsaan pada singgahsana sebenar. Memperkasakan bahasa bukan sekadar menjadi medan perjuangan, bahkan seharusnya telah mantap dan berupaya berdiri sendiri tanpa tergugat oleh mana-mana pihak.
Selain memperkasakan bahasa kebangsaan, dialek daerah (atau negeri) juga boleh diketengahkan sebagai medium komunikasi yang wajar diberi penekanan dan penjituan. Pada era percampuran budaya dan bahasa tanpa sempadan hari ini, kedudukan dialek setempat nampak semakin terhakis dan tidak mustahil akan pupus pada kemudian hari. Di sini bermulanya usaha gigih daripada penuturnya untuk meletakkan batu asas kepada pengkajian dan penyalinan bahasa daerah agar ia terus kekal dalam dunia akademia jika tidakpun pada kalangan penuturnya.

No comments:

Post a Comment