BLOG INI

Blog ini khas satu kenangan orang lama seperti saya.

Banyak dialek Padang Terap yang saya kekalkan. Kalau tidak berapa jelas, mohon dimaafi.

Blog ini sekadar untuk suka-suka merakam suatu yang terlalu usang untuk diingat, sebelum saya 'padam'.



Tuesday, November 2, 2010

SEKOLAH KEBANGSAAN PADANG TERAP & MASJID

Sekolah Kebangsaan Padang Terap (SKPT)
Sekolah ini adalah sekolah rendah terawal di daerah Padang Terap yang mula dibuka pada tahun 1913. Ia dirasmikan pembukaannya oleh Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Tuan Syeikh Haji Wan Sulaiman pada tahun yang sama (temubual Abdul Halim Jusuh, 20 Disember 2005). Menurut Puan Fatimah Mohd Nor (temubual 6 Jun 2006) antara guru yang diingat pernah bertugas di sekolah Padang Terap ialah Encik Musa, Encik Da’ dan Encik Mat.
Selain guru di atas, Cikgu Mat Nayan bin Aman bin Hakeem Mohamad bin Rahmatullah (temubual Mahmud bin Mat Nayan 5 Jun 2006) pernah bertugas di SKPT. Cikgu Mat Nayan pernah menjawat jawatan guru besar bersama dengan Haji Mohd Nor (Tok Ayah Nor) yang mengajar al-Quran pada sesi petang di sekolah yang sama. Cikgu Mat Nayan dan Tok Ayah Nor berkawan rapat (berkawan rapit) seperti adik beradik, dalam susah senang membangunkan pendidikan di sekolah beratap nipah dan berdinding buluh. Murid-muridnya pula menulis di atas papan batu yang dipadam menggunakan air.
Cikgu Haji Darus bin Abdullah @ Pak Lah Tebeng antara guru yang pernah berkhidmat di awal penubuhan SKPT. Lain-lain guru termasuklah Cikgu Mokhtar, Cikgu Ismail, Cikgu Sopiah, Cikgu Azizan yang berganti berikutnya.

Masjid.
Masjid Sungai Sari adalah masjid pertama daerah Padang Terap (menyusuri sungai Padang Terap). Pada asalnya masjid ini berada di tepi sungai yang dibina daripada kayu-kayu hutan. Namun oleh kerana berlakunya perpindahan penduduk ke tepi jalan raya yang baru dibina, masjid ini akhirnya dipindahkan ke Kampung Sungai Sari seperti yang sedia ada pada hari ini. Hanya kubur lama yang masih kekal di tepi sungai bekas tapak masjid membuktikan kewujudan penempatan generasi terdahulu (Temubual Mahmud Mat Nayan 5 Jun 2006).

Masjid berikutnya ialah masjid Padang Gelanggang, Masjid Kampung Pisang, Masjid Padang Sanai, Masjid Kampung Tanjung dan Masjid Kubang Palas. Pecahan kariah baru mewujudkan pula Masjid Padang Nyior yang sedang dalam pembinaan (Ahmad Nawawi, 2006).

No comments:

Post a Comment